PETALING JAYA – Ketika negeri-negeri lain menunjukkan trend penurunan jumlah mangsa banjir, Pahang dan Johor pula mencatat peningkatan.
Di Pahang, jumlah mangsa banjir meningkat daripada 1,632 orang semalam kepada 1,842 orang pagi ini, melibatkan 537 keluarga. Semua mangsa kini ditempatkan di 22 pusat pemindahan sementara (PPS) yang beroperasi di tiga daerah utama iaitu Raub, Lipis, dan Jerantut.
Sementara itu, di Johor, situasi serupa berlaku apabila jumlah mangsa banjir melonjak daripada 831 orang kepada 1,038 orang, membabitkan 295 keluarga. Daerah Segamat dan Tangkak merupakan kawasan yang paling terjejas teruk.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi semalam dilaporkan berkata, penduduk Pahang dan Johor terutama di kawasan rendah diminta bersiap siaga sepenuhnya menghadapi banjir serta mematuhi arahan pihak berkuasa.
Katanya, peningkatan jumlah mangsa di kedua-dua negeri itu disebabkan aliran air banjir dari Kelantan dan Terengganu yang menghala ke kawasan tersebut. -KOSMO! ONLINE