JITRA – Jasad pengawal keselamatan, Ismail Hashim, 49, yang hanyut ketika memukat ikan di sungai tebatan banjir Kampung Paya Parit Lateh, di sini kelmarin akhirnya ditemukan kira-kira pukul 7.50 pagi tadi.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Bustan Karudin, mayat mangsa ditemukan tersangkut pada reba di tebing sungai kira-kira 1.5 kilometer dari lokasi terakhir dia dilihat.
“Jasad mangsa ditemukan kira-kira 7.50 pagi tadi setelah hampir 36 jam operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan.
“Mayat mangsa ditemukan dalam keadaan tertiarap dan tersangkut pada reba di tebing sungai. Mayat seterusnya diserahkan kepada pihak polis dan dibawa ke Hospital Jitra untuk tindakan lanjut,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian, di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.15 malam kelmarin, mangsa yang sedang memukat ikan lemas ketika berenang menyeberangi sungai tersebut untuk merentangkan pukat, sambil disaksikan isteri, tiga anak serta bapa saudaranya.
Sementara itu bapa saudara mangsa, Romli Bakar, 61, berkata, seluruh ahli keluarga bersyukur dengan penemuan jasad arwah setelah pelbagai usaha dijalankan termasuk dengan cara berdoa dan azan di lokasi kejadian.
“Setelah selesai segala urusan di hospital, jenazah akan dibawa ke Masjid Al Fateh, Tanjung Pauh dekat sini sebelum dikebumikan di Kampung Tanah Merah,” katanya. – KOSMO! ONLINE