KUANTAN – Pelakon dan bekas model popular Zahnita Dorothy Hussein Wilson, 39, dipercayai dicederakan suaminya selepas mangsa menyatakan hasrat untuk keluar rumah dan tinggal berasingan.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, berdasarkan maklumat awal suami mangsa menjadi marah dengan keputusan mangsa dan berlaku pertengkaran sebelum berlaku keganasan rumah tangga.
“Mangsa dikatakan mahu meninggalkan rumah dan tinggal berasingan daripada suaminya, menyebabkan suaminya menjadi marah dan berlaku pergaduhan. Kejadian dikatakan berlaku di rumah mangsa pada 26 November sebelum mangsa membuat laporan pada hari berikutnya.
“Polis telah mengambil kenyataan daripada suami mangsa semalam dan suspek juga telah ditahan semalam,” katanya di sini hari ini.
Hari ini Kosmo! melaporkan industri hiburan tanah air dikejutkan dengan pendedahan bekas model popular Zahnita yang mendakwa dia dikasari suami dengan memuat naik gambar mata lebam.
Lebih mengejutkan pemilik nama Zahnita turut mengakui sudah 20 tahun menjadi mangsa keganasan rumah tangga.
Menurut Yahaya, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18 Akta Keganasan Rumah Tangga untuk siasatan lanjut.
Katanya, suspek dibawa ke mahkamah hari ini untuk mendapatkan perintah tahanan reman. – KOSMO! ONLINE