KUALA LUMPUR – Bekas perenang Selangor, Diana Qistina Redza membuktikan kehebatan selepas muncul juara acara jarak Olimpik wanita pada kejohanan Kuala Langat Aquathlon 2024 anjuran XS Elite Performance dan AMMJB Swimmers yang berlangsung semalam.
Pada penampilan sulung dalam saingan renang terbuka, Diana mempamerkan aksi cemerlang sebelum menamatkan perlumbaan yang melibatkan 1.5 kilometer (km) berenang dan 10km berlari menerusi catatan masa 1 jam 18 minit 44 saat (s).
Diana yang menyertai kejohanan itu bagi menguji tahap kecergasan dimiliki mengakui tidak sangka dengan keputusan yang menyaksikan dia berjaya menjejakkan kaki ke podium.
“Ini kali pertama saya berenang di laut. Saya pernah menjalani latihan simulasi tetapi itu sudah bertahun yang lalu. Saya pernah berenang untuk negeri tetapi itu semasa saya masih belajar.
“Berenang di laut sangat berbeza. Saya lebih fokus kepada larian dan bercadang untuk menyertai maraton penuh suatu hari nanti. Saya langsung tidak sangka akan menang hari ini (semalam),” katanya.
Sebagai rekod, Diana yang bertanding dalam kategori 30-39 tahun mengatasi peserta-peserta lain termasuk Lee Sing Chee (18-29) yang meraih tempat kedua menerusi catatan 1:39.42s dan Siti Hanisah Linggi (30-39) di tempat ketiga dengan 1:48.45s.
Dalam kategori lelaki, Yap Qi Yi berjaya mempertahankan gelaran menerusi catatan masa 1:00.18s menewaskan Mohamad Khairil Azhar (1:00.53s) dan Harith Aiman Adha (1:03.37s).
“Saya gembira dapat mempertahankan gelaran. Walaupun sukar, terutamanya bahagian larian tetapi saya berjaya mengatasinya. Harapan saya adalah untuk layak ke Sukan SEA di Thailand hujung tahun depan,” kata Qi Yi.
Sementara itu, Pengarah Perlumbaan XS Elite Performance, Toto Ong berkata, acara itu yang memiliki objektif memupuk gaya hidup sihat mendapat sambutan luar biasa dengan penyertaan 450 peserta tahun ini. – KOSMO! ONLINE