SHAH ALAM – Penduduk Pahang dan Johor terutama di kawasan rendah diminta bersiap siaga sepenuhnya menghadapi banjir serta mematuhi arahan pihak berkuasa.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, keadaan itu berikutan aliran air dari Kelantan dan Terengganu akan pergi ke dua negeri tersebut.
Jelas Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara itu, situasi di dua negeri Pantai Timur yang teruk sebelum ini dilihat semakin menunjukkan pemulihan.
“Namun, aliran air di Terengganu dan Kelantan berkenaan akan membawa ke Pahang dan Johor. Justeru, saya minta penduduk di negeri-negeri ini bersiap siaga menghadapi banjir kelak,” katanya pada sidang akhbar perasmikan RissMart24 dan syiling peringatan Jubli Emas Risda di Seksyen U1 di sini, lewat petang tadi.
Tegas Ahmad Zahid, semua penduduk di lokasi banjir diminta sentiasa mematuhi arahan dan tidak berpindah pada saat akhir.
“Kita tidak mahu mereka berpindah hanya ketika paras air sudah naik dengan mendadak. Tindakan sehingga menyebabkan kehilangan ahli keluarga dan kematian perlu dielakkan ketika musim tengkujuh ini,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE