PUTRAJAYA – Fokus Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) kini tertumpu kepada lima atau enam siri hujan lebat yang dijangka berlaku pada penghujung Disember ini ekoran Monsun Timur Laut (MTL).
Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, arahan telah dikeluarkan kepada pegawai dan anggota di peringkat operasi agar tumpuan utama diberikan khususnya di lokasi yang pernah berlaku bencana seperti banjir besar dan tanah runtuh.
“Kita sedia maklum akan ada lima atau enam siri lagi hujan lebat yang dijangka berlaku. Ini baru siri pertama dan ada lima lagi siri. Dan berdasarkan kepada rekod lama, saya ambil kira apabila berlakunya insiden di Sri Muda, Kemaman dan Kuala Krai.
“Semua episod hujan ini berlaku (pada) 18 hari bulan. Kalau tengok (insiden) Batang Kali pada dua tahun lepas (juga) berlaku pada 18 Disember.
“Jadi, berdasarkan ‘track record’ ini kita telah beri penegasan pada peringkat operasi supaya jangan selesa dan sentiasa bersedia untuk siri seterusnya,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perhimpunan Bulanan, di sini petang tadi.
Dalam perkembangan berkaitan, Nor Hisham berkata, sejak 5 November sehingga semalam, JBPM telah melaksanakan sebanyak 2,510 operasi pemantauan di kawasan panas banjir, 653 operasi pemindahan dan 4,978 urusan pemindahan mangsa banjir.
Jelas beliau, secara keseluruhan seramai 7,632 anggota telah digerakkan dalam operasi banjir yang membabitkan seramai 5,618 pegawai sepenuh masa, selain 1,990 anggota pasukan bomba bantuan dan 24 anggota pasukan bomba sukarela. – KOSMO! ONLINE