KUALA LUMPUR – Dalam usaha memantapkan skuad renang negara, Renang Malaysia (MAS) bakal mendapatkan khidmat dua jurulatih baharu dalam masa terdekat di kala temasya Sukan SEA Bangkok 2025 akan berlangsung tahun depan.
Naib Presiden MAS, Marilyn Chua mengesahkan salah seorang jurulatih tersebut dibawa masuk dari Denmark dengan badan induk sukan renang negara itu sedang menguruskan visa kemasukan ke Malaysia.
Selain itu, MAS juga sedang mengenal pasti seorang lagi jurulatih tempatan sebagai tambahan kepada barisan kejurulatihan sedia ada dengan harapan pelantikan itu dapat dimuktamadkan secepat mungkin.
“Hari ini kami membincangkan mengenai prestasi sepanjang 2024 serta perancangan untuk musim 2025. Kami harap untuk membawa masuk dua lagi jurulatih, iaitu seorang dari luar negara dan seorang lagi tempatan.
“Jurulatih dari luar negara itu dari Denmark dan kami sedang memuktamadkan visa beliau. Kami harap mereka boleh bermula secepat mungkin kerana skuad semakin besar, jadi perlukan lebih ramai jurulatih,” kata Marilyn ketika ditemui selepas mesyuarat Jawatankuasa Kerja (JKK) di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil hari ini.
Sementara itu, beliau turut memaklumkan perenang muda Kuala Lumpur, Muhammad Dhuha Zulfikry dibawa masuk ke dalam Program Podium secara sepenuh masa manakala Chui Lai Kwan dan Hii Puong Wei untuk program separuh masa.
“Kita ada seorang perenang yang dinaikkan ke Podium dari skuad pelapis, iaitu Dhuha. Dia sudah menampilkan aksi cukup baik sepanjang tahun ini selain menepati kriteria yang diperlukan untuk Podium,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE