KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, berkata, semua 25 tuduhan penyelewengan dana 1Malaysia Development Bhd(1MBD) yang didakwa terhadapnya adalah bermotifkan politik.
Najib yang membacakan pernyataan saksinya, berkata, ia dengan sendirinya menunjukkan bahawa terdapat dorongan untuk memfailkan pertuduhan terhadapnya di mahkamah.
“Ia nampaknya tidak dibuat selepas melakukan pertimbangan yang teliti terhadap bukti, dan ia pastinya tidak dibuat dengan mengambil kira apa yang saya perlu katakan kepada SPRM.
“Tergesa-gesa untuk mendakwa saya adalah satu lagi petunjuk bahawa pertuduhan terhadap saya adalah bermotifkan politik,” katanya.
Terdahulu, Najib turut berkata beliau pernah memaklumkan kepada pasukan siasatan bahawa wang RM60.6 juta yang menjadi pertikaian dalam siasatan terhadapnya, didermakan oleh Kerajaan Arab Saudi.
Beliau percaya wang yang dihantar oleh Putera Faisal bin Turki bin Bandar Al-Saud adalah sumbangan Almarhum Raja Abdullah daripada dana baginda atau kerajaan berkenaan dalam satu majlis persendirian pada 2010.
“Ketika itu baginda menyampaikannya melalui jurubahasa, niatnya untuk menyokong saya dari segi kewangan yang mana saya kemudian menerima kiriman wang daripada Riyadh Bank Saudi Arab. Saya juga telah menerima surat pengesahan Arab Saudi bahawa derma itu daripada Raja Abdullah melalui wakil dirajanya yang kemudian dipanjangkan kepada AmBank dan Bank Negara.
“Pada pertemuan dengan Raja Abdullah, saya diberitahu secara khusus bahawa saya akan dibantu dalam Pilihan Raya Umum) untuk memastikan bahawa saya akan dikembalikan sebagai Perdana Menteri kepada kerajaan hari ini. Saya faham ini bantuan kewangan.
“Kemudian, pada tarikh yang berbeza, saya dimaklumkan oleh Jho Low (Low Taek Jho) bahawa Raja Abdullah akan menderma AS$1 Bilion,” ujar beliau.
Pada masa sama, beliau turut memaklumkan
beliau tidak pernah ke AmIslamic Bank, Jalan Raja Chulan di sini pada 2011 yang mengaitkannya dengan penyalahgunaan kedudukan berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) atau SRC International.
Kata Najib, beliau mengetahui mengenai penyalahgunaan kuasa di bank berkenaan yang didakwa berlaku di antara 24 Februari 2011 dan 14 Jun 2011 hanya ketika pertuduhan dibacakan terhadapnya di mahkamah.
“Saya sangat hairan sehingga saya terpaksa bertanya kepada peguam saya mengenai dakwaan ini semasa pertuduhan dibacakan di mahkamah,” ujar beliau.
Sebelum ini, pada prosiding di akhir kes pendakwaan pada Ogos lalu, pihak pembelaan berkata tiada sebarang bukti yang menunjukkan Najib berada di Bank AmIslamic antara 24 Februari dan 14 Jun 2011.
Katanya, sehubungan itu pendakwaan gagal membuktikan anak guamnya menyalahgunakan kedudukan ketika berada di bank berkenaan seperti yang dinyatakan dalam tuduhan.
Pada masa sama, Najib turut memaklumkan jumlah RM60,629,839.43 juga tidak ditanya secara khusus kepada saya (ketika siasatan) dan beliau tidak diberitahu ia berkaitan tuduhan pertama atau bagaimana ia berkait dengan jaminan kerajaan yang diberikan kepada Lembaga Pelaburan Terengganu bagi penerbitan bon Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN).
Hari ini mahkamah mula mendengar keterangan bela diri Najib bagi menjawab pertuduhan kes penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB dan pengubahan wang haram.
Perbicaraan bela diri di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung lagi esok.
Najib, 71, memilih menjawab semua 25 pertuduhan tersebut melalui keterangan bersumpah dari kandang saksi.
Bekas Ahli Parlimen Pekan itu menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama. – KOSMO! ONLINE