PETALING JAYA – Kekecohan tercetus di Dewan Rakyat petang ini selepas seorang ahli parlimen kerajaan mengkritik cadangan seorang Exco Kelantan untuk menjadikan musim tengkujuh sebagai produk pelancongan.
Kekecohan tercetus apabila Ahli Parlimen Tebrau, Jimmy Puah Wee Tse membangkitkan perkara itu ketika membahaskan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2025 Peringkat Jawatankuasa Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam.
“Saya amat terperanjat beberapa hari lepas saya (ada) baca Exco Pelancongan Kelantan, keluarkan kenyataan, kerajaan Kelantan ingin menggunakan musim tengkujuh atau banjir sebagai satu produk pelancongan.
“Saya hendak terus terang sini, saya rasa pandangan itu bukan saja tak sensitif. Malah saya nak kata di sini, sangat bodoh,” katanya.
Bagaimanapun, kenyataan Jimmy itu membangkitkan kemarahan dalam kalangan ahli parlimen pembangkang yang meminta beliau menarik balik kenyataannya.
“Dia (Puah) tidak tahu beza monsun dan banjir. Dia perlu meningkatkan Bahasa (Melayu),” kata Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa).
Susulan bantahan daripada pembangkang, Puah akhirnya menarik balik kenyataan tersebut dan menggantikannya dengan ‘tidak cerdik’. – KOSMO! ONLINE