BANGKOK – Satu trend sewa isteri di Thailand mencetuskan perdebatan ramai apabila fenomena itu melibatkan pelancong asing yang mahu mempunyai peneman sementara, ketika mereka berada di negara tersebut, lapor laman berita Thaiger semalam.
Trend itu dilaporkan banyak berlaku di daerah tumpuan pelancong di Pattaya.
Amalan dikenali sebagai perkahwinan kontrak itu menyaksikan gadis-gadis dari kawasan-kawasan pedalaman menjadi peneman untuk pelancong asing.
Mereka menawarkan pelbagai jenis perkhidmatan termasuk menjadi pemandu pelancong dan teman biasa.
Kontrak perkahwinan berkuat kuasa selama beberapa hari hingga beberapa bulan, dengan bayaran yang dikenakan berbeza mengikut paras rupa, umur dan tahap pendidikan.
Ia berharga dalam lingkungan antara AS$1,600 (RM7,000) hingga AS$116,000 (RM520,000).
Buku baharu tulisan Lavert A. Emmanuel bertajuk ‘Thai Taboo: The Rise of Wife Rental in Modern Society’ menyelami dunia gelap itu dengan menggambarkan bagaimana amalan tersebut yang dahulunya tersembunyi, kini menjadi sumber pendapatan golongan muda yang bergelut untuk memenuhi keperluan hidup.
“Ini bukan sekadar menerima bayaran. Sesetengah wanita akhirnya berkahwin dengan pelanggan mereka, sementara yang lain mengekalkan hubungan berbayar jangka panjang,” tulisnya.
Walaupun kerajaan Thailand mengakui kewujudannya, tidak ada undang-undang yang mengawal trend itu.
Pengkritik berpendapat bahawa kekurangan pengawasan menyebabkan wanita negara itu terdedah kepada eksploitasi. – AGENSI