GUA MUSANG – Laluan Kilometer 35, Jalan Gua Musang-Jeli di sini ditutup untuk semua kenderaan selepas jalan tersebut runtuh sepenuhnya susulan hujan lebat melanda kawasan tersebut baru-baru ini.
Runtuhan tanah yang berlaku pukul 11 malam tadi itu menyebabkan jalan tersebut terputus hubungan.
Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Jerek, Wan Zahari Wan Harun, 56, sebelum runtuhan berlaku, keadaan cuaca hujan sehingga menyebabkan air dari pembetung bersebelahan laluan terbabit melimpahi permukaan jalan berkenaan.
“Tidak lama selepas limpahan air dari pembentung surut, tebing jalan mula terhakis sedikit demi sedikit bersama aliran air pembentung sebelum runtuh sepenuhnya dalam tempoh 20 minit.
“Runtuhan dan hakisan tanah itu menyebabkan curam yang dalam,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian di sini hari ini.
Wan Zahari memberitahu, jalan itu sudah tidak boleh dilalui walaupun dengan cara berjalan kaki.
“Kami bernasib baik kerana telah mengambil langkah awal menghantar anak-anak untuk tinggal di asrama sekolah terutamanya mereka yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hari ini,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Mohd. Zain Daud berkata, susulan itu mereka mengambil inisiatif membina laluan sementara bagi menghubungkan semula lapan kampung yang terjejas akibat kejadian jalan runtuh itu.
Terdahulu, lebih 3,000 penduduk di lapan buah kampung di sekitar mukim Jerek, di sini terjejas apabila Jalan Gua Musang-Jeli yang menjadi penghubung utama mereka runtuh akibat mendapan tanah dan tanah runtuh.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, sebuah Jambatan Bailey akan dibina di Kilometer 35 Jalan Gua Musang-Jeli bagi memudahkan penghantaran bantuan kepada mangsa banjir dan kerja menyelamat. – KOSMO! ONLINE