fbpx

Kematian Palapes UiTM, 34 individu diambil keterangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

SHAH ALAM – Seramai 34 individu telah diambil keterangan bagi membantu siasatan kes kematian seorang pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, ini termasuk sembilan individu baharu dengan kesemuanya antaranya melibatkan pegawai perubatan, pegawai jurulatih, pelajar-pelajar terlibat dan pengadu.

Katanya, pihaknya akan memanggil beberapa lagi individu bagi melengkapkan kertas siasatan (IP) sebelum dirujuk kepada Mahkamah koroner untuk inkues dan arahan lanjut.

“Kalau koroner kata ada unsur jenayah, tentunya arahan akan diberikan untuk teruskan kertas siasatan dibawah Seksyen 302 atau 304 Kanun Keseksaan.

“Jadi, selepas inkues kita tengok bagaimana. Sebab itu saya minta jangan ada pihak mensensasikan atau memanipulasi kes ini.

“Kadang-kadang mungkin emosi namun jangan kita terbawa-bawa sampai menyalahkan mana-mana pihak. Bagi ruang kepada polis melakukan siasatan. Keadilan akan ditegakkan, insya-Allah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis pelupusan barangan kes di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, hari ini.

Terdahulu, sebuah portal melaporkan seorang pelatih Palapes daripada sebuah universiti tempatan meninggal dunia pada 13 November lalu selepas bapa mangsa mendakwa anaknya didera secara fizikal termasuk dipijak dada serta dipaksa melakukan pelbagai aksi termasuk seperti kuda dan ditunggang oleh jurulatih Palapes.

Mohd. Iqbal memaklumkan, kes ketika ini masih disiasat mengikut mati mengejut (SDR) dengan rekod perubatan mangsa masih dalam semakan.

“Walaupun SDR tetapi segala usaha siasatan dilakukan meliputi pelbagai aspek dari segi forensik dan perubatan. Semua kita tengok dan tidak tinggal sebarang bukti,” tegasnya.

Jelas Mohd. Iqbal, siasatan kematian tersebut dilakukan berasingan dengan pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Mereka (ATM) pun tunggu keputusan siasatan polis dan kita pun akan maklum sekiranya ada tangkapan atau keperluan, kita akan maklum mereka,” ujarnya.

Ketika mengulas mengenai isu buli dan kecuaian itu, beliau menjelaskan semua itu masih dalam siasatan pihaknya.

“Kita terima pun laporan selepas semua urusan selesai dan mayat telah dikebumikan. Selepas dua hari iaitu 15 November, baharu keluarga memaklumkan ada unsur-unsur penderaan, buli dan sebagainya.

“Justeru, sekiranya ada maklumat boleh menyalurkan kepada pegawai penyiasat kes, Asisten Superintendan Mohd. Khairi Kamaruddin di talian 012-2666025,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI