JURULATIH Johor Darul Ta’zim (JDT) bertekad untuk membenamkan kelab Thailand, Buriram United pada aksi keenam Zon Timur Liga Juara-juara Asia Elit (ACLE) di Stadium Sultan Ibrahim pada malam ini.
Dalam saingan kejohanan terbesar Asia itu pada musim ini, JDT tidak pernah keciciran mata ketika bermain di laman sendiri setelah menang selesa ketika melayan kunjungan kelab China, Shanghai Shenhua dan kelab Korea Selatan Ulsan HD FC masing-masing dengan keputusan 3-0.
Oleh itu, pengendali kelahiran Argentina itu menuntut skuad Harimau Selatan mengekalkan momentum kemenangan itu dengan menewaskan kelab dari negara Gajah Putih itu di hadapan puluhan ribu penyokong di gelanggang keramat itu.
“Perlawanan ini amat penting bagi mencerahkan peluang untuk melayakkan diri ke pusingan seterusnya lebih-lebih lagi apabila beraksi di laman sendiri, kita tidak boleh tersalah langkah dan gagal memanfaatkan peluang ini untuk menuai tiga mata.
“Dalam saingan ACLE musim ini, JDT berjaya menunjukkan betapa kompetitifnya wakil tunggal dari Malaysia bersaing dengan kelab terbaik di rantau Asia, namun kami tidak boleh berpuas hati kerana perjalanan masih berliku dan kami amat perlukan kemenangan untuk melangkah jauh,” ujarnya.
Dalam pada itu, pemain bek tengah, Jordi Amat berkata, pertembungan esok adalah penting buat kedua-dua pasukan yang pada ketika ini mengutip tujuh mata daripada lima perlawanan, berkongsi mata dengan Shanghai Shenhua, Shandong Taishan dan Shanghai Port.
“Ini akan menjadi pertemuan antara pasukan terbaik di Malaysia menentang pasukan terbaik di Thailand, kedua-dua mempunyai sistem permainan yang hampir sama. Jadi, ia akan menjadi perlawanan yang menarik, harapnya pasukan mampu pasukan menampilkan aksi terbaik sepanjang permainan,” jelasnya.