PETALING JAYA – Sebanyak 2,113 kekosongan jawatan guru sekolah di Sarawak setakat ini belum terisi, kata Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh.
Beliau berkata, sehingga 31 Oktober 2024, jumlah perjawatan di sekolah-sekolah di Sarawak adalah sebanyak 43,334.
“Namun hanya 41,221 jawatan telah diisi dengan baki kekosongan sebanyak 2,113 jawatan.
“Kadar pengisian guru di Sarawak adalah sebanyak 95.12 peratus,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Ali Anak Biju (PN-Saratok) mengenai perancangan jangka masa pendek dan panjang Kementerian Pendidikan (KPM) di bawah inisiatif Pengambilan Guru Khas bagi mengatasi kekurangan guru di Sarawak.
Kah Woh berkata, kementerian menyasarkan seramai 1,733 guru baharu akan diambil melalui pengambilan khas bagi mengisi kekosongan jawatan guru di Sarawak pada tahun ini.
“Urusan pengambilan khas Sarawak tahun2024 adalah berdasarkan kekosongan jawatanmengikut opsyen seperti Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu, Bahasa Cina, Pendidikan Islamserta Pendidikan Jasmani dan Kesihatan.
“Pengisian jawatan adalah bergantung kepada bekalan calon yang berjaya dalam temuduga oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP),” katanya. – KOSMO! ONLINE