KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa beliau tidak pernah ke AmIslamic Bank, Jalan Raja Chulan di sini pada 2011 yang mengaitkannya dengan penyalahgunaan kedudukan berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) atau SRC International.
Kata Najib, beliau mengetahui mengenai penyalahgunaan kuasa di bank berkenaan yang didakwa berlaku di antara 24 Februari 2011 dan 14 Jun 2011 hanya ketika pertuduhan dibacakan terhadapnya di mahkamah.
“Saya sangat hairan sehingga saya terpaksa bertanya kepada peguam saya mengenai dakwaan ini semasa pertuduhan dibacakan di mahkamah,” ujar beliau.
Sebelum ini, pada prosiding di akhir kes pendakwaan pada Ogos lalu, pihak pembelaan berkata tiada sebarang bukti yang menunjukkan Najib berada di Bank AmIslamic antara 24 Februari dan 14 Jun 2011.
Katanya, sehubungan itu pendakwaan gagal membuktikan anak guamnya menyalahgunakan kedudukan ketika berada di bank berkenaan seperti yang dinyatakan dalam tuduhan.
Pada masa sama, Najib turut memaklumkan jumlah RM60,629,839.43 juga tidak ditanya secara khusus kepada saya (ketika siasatan) dan beliau tidak diberitahu ia berkaitan tuduhan pertama atau bagaimana ia berkait dengan jaminan kerajaan yang diberikan kepada Lembaga Pelaburan Terengganu bagi penerbitan bon Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN).
Hari ini mahkamah mula mendengar keterangan bela diri Najib bagi menjawab pertuduhan kes penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB dan pengubahan wang haram.
Bekas Perdana Menteri mengangkat sumpah sebagai saksi pembelaan pertama dan membaca jilid pertama mengandungi 335 muka surat dalam kandang saksi di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah.
Peguam utama, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, pernyataan itu terbahagi kepada dua jilid yang mana jilid pertama mengandungi 335 muka surat manakala jilid kedua 190 muka surat.
Najib, 71, memilih menjawab semua 25 pertuduhan tersebut melalui keterangan bersumpah dari kandang saksi.
Bekas Ahli Parlimen Pekan itu menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.
Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon di sini antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014 manakala bagi pertuduhan pengubahan haram pula antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013 di lokasi sama.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), yang memperuntukan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi.
Bagi lima pertuduhan lagi, Najib didakwa menggunakan hasil daripada aktiviti haram sebanyak RM20,000,000 untuk dibayar kepada Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), RM100,000 dibayar kepada UMNO Bahagian Batu Kawan, RM246,000 kepada Lim Soon Peng, RM2,000,000 kepada ORB Solutions Sdn Bhd dan RM303,000 kepada Semarak Konsortium Satu Sdn Bhd.
Bagi semua perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman denda maksimum RM5 juta atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE