PETALING JAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang mempertimbangkan sistem baharu yang lebih efisien bagi melancarkan lagi pemeriksaan imigresen kepada para pengembara dengan memperkenalkan penggunaan Quick Response (QR Code) bagi kegunaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Timbalan Menterinya, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata, sistem itu dijangka dapat mempercepatkan proses pemeriksaan di kaunter imigresen, di mana pengembara hanya perlu
mengimbas QR Code yang mengandungi maklumat peribadi serta butiran perjalanan mereka.
Beliau berkata, penggunaan teknologi itu dijangka akan membantu meningkatkan keselamatan dan mengurangkan kesesakan di pintu-pintu
masuk negara, terutama pada waktu puncak.
“Penggunaan QR Code akan diperluaskan ke pintu-pintu masuk utama negara yang bersesuaian, termasuk lapangan terbang antarabangsa yang
lain dan pusat pemeriksaan di sempadan darat serta laut.
“Dengan adanya sistem yang lebih bersepadu ini, ia bukan sahaja akan meningkatkan kecekapan dalam pengurusan imigresen, tetapi juga akan mengurangkan risiko rasuah dan penyalahgunaan kuasa di kaunter imigresen,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan RSN Rayer (PH-Jelutong) yang meminta KDN menyatakan langkah menambah baik perkhidmatan dan bilangan mesin pengimbas pasport automatik di semua pintu masuk negara bagi memudahkan urusan kemasukan pelancong.
Dalam pada itu beliau memaklumkan, KDN kini sedang merancang melaksanakan pemakaian kamera badan ke atas anggota JIM yang bertugas di pintu masuk utama negara menerusi peruntukan Rancangan Malaysia ke-13.- KOSMO! ONLINE