MUAR – Seorang lelaki yang sudah menjadi tunangan orang didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan merogol seorang remaja bawah umur dalam sebuah kereta yang diparkir di hadapan rumahnya, bulan lalu.
Tertuduh, Khairul Irsyad Khairuddin, 22, yang juga juruteknik sebuah universiti awam (UA) di Pagoh, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dikemukakan di hadapan Hakim Sayani Mohd Nor.
Mengikut kertas pertuduhan, lelaki didakwa merogol gadis berusia 15 tahun dalam sebuah kereta di hadapan sebuah rumah dalam daerah ini pada pukul 9 malam, 15 November lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga 20 tahun dan juga sebatan jika sabit kesalahan.
Berdasarkan laporan dibuat, mangsa mengenali tertuduh melalui aplikasi mencari kenalan sebelum mereka bertemu.
Mangsa dibawa oleh suspek menaiki sebuah kereta sebelum berhenti di hadapan rumahnya lalu melakukan perbuatan terkutuk itu.
Selain merogol, suspek juga mengugut menyebar video lucah mangsa serta tidak menceritakan perkara itu kepada sesiapapun termasuk ibu bapanya.
Kejadian terbongkar apabila mangsa membuat laporan polis selepas diugut tertuduh kerana mahu memutuskan hubungan sebaik mengetahui lelaki itu sudah bertunang.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Danial Munir manakala tertuduh diwakili peguam, Nurul Qurratul Aini Md Roslan.
Selepas mendengar hujahan dan rayuan kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula pada 6 Januari untuk serahan dokumen.-KOSMO! ONLINE