DUNGUN – Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas motosikal dinaikinya dihanyutkan arus deras sewaktu cuba menyeberangi laluan dinaiki air di sebuah ladang kelapa sawit di Felda Kerteh 3 di sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 5 pagi itu, mangsa berusia 36 tahun dikatakan dihanyutkan arus deras banjir sewaktu melalui lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Dungun Superintendan Maizura Abdul Kadir berkata, mangsa dikatakan memasuki kawasan ladang kelapa sawit tersebut bersama dua rakannya pada pukul 5 petang, kelmarin.
“Sewaktu mahu pulang pada pukul 5 pagi semalam, dia yang bermotosikal dikatakan mengikut belakang sebuah lori dinaiki dua rakannya.
“Motosikal dinaikinya dikatakan hilang kawalan lalu dihanyutkan arus deras sewaktu melalui kawasan yang ditenggelami banjir,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Maizura berkata, dua rakan mangsa yang menyedari kejadian itu cuba membantunyavnamun gagal sebelum lelaki itu terus hilang daripasa, pandangan.
Tambah beliau, insiden menimpa mangsa baru dimaklumkan ahli keluarganya kepada pihak polis pada pukul 10 malam tadi.
“Operasi mencari dan menyelamat mangsa telah digerakkan bermula pukul 7 pagi tadi melibatkan pelbagai agensi penyelamat,” katanya. – KOSMO! ONLINE