IPOH – Isu mengibarkan bendera China di Teluk Intan pada Oktober lalu kecoh dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak apabila dibangkitkan status warganegara individu yang terlibat.
Keadaan menjadi panas apabila Ketua Pembangkang, Razman Zakaria mendakwa ada senarai nama mereka yang dikatakan terlibat dalam kejadian itu.
Namun beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada parti kerajaan bangkit mempersoalkan dakwaan tersebut dan meminta Razman mengemukakan bukti serta-merta jika senarai nama itu adalah rakyat tempatan.
Yang Dipertua Dewan Negeri Perak, Datuk Mohamad Zahir Abdul Khalid meminta Razman bertanggungjawab terhadap dakwaan tersebut dengan memberikan bukti atau menarik balik kata-katanya.
Kejadian yang berlaku di Dataran Menara Condong Teluk Intan itu tular dalam media sosial sehingga mengundang perang mulut pelbagai pihak.
Menurut laporan media, bendera tersebut dikibarkan oleh warga China yang terlibat dalam perarakan sambutan Guan Gong Sedunia itu. – KOSMO! ONLINE