BESUT – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mempunyai mekanisma terbaik bagu menangani isu berbangkit akibat banjir tanpa perlu menangguhkan peperiksaan awam termasuk Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan berkata, jadual peperiksaan awam termasuk SPM dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang yang ditetapkan telah mengambil kira semua aspek termasuk kebarangkalian bencana alam seperti banjir.
“Jadual telah disusun sebaik-baiknya dengan mengambil kira pelbagai perkara, kalau kita buat penangguhan akan menjejaskan perkara lain termasuk kemasukan pelajar ke universiti.
“KPM yakin dapat menangani isu-isu banjir melibatkan peperiksaan ini melalui pelaksanaan Ops Payung,” katanya selepas meninjau Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Payung di sini hari ini.
Azman berkata, KPM menerusi Ops Payung telah mengambil inisiatif menempatkan calon SPM terjejas banjir di asrama sekolah sebagai langkah memastikan mereka menghadiri peperiksaan dengan selamat dan tenang.
Ujar beliau, pengurusan jabatan pendidikan negeri (JPN) juga telah diarahkan untuk membantu membawa keluar mana-mana calon SPM yang terkandas banjir sebelum ditempatkan di asrama sekolah. – KOSMO! ONLINE