MESKIPUN tewas 1-4 kepada Pakistan dalam aksi terakhir Kumpulan B Piala Remaja Asia 2024 Stadium Hoki Oman di Muscat, Oman, kelmarin, namun skuad hoki remaja negara tetap berjaya mengesahkan slot ke Piala Dunia Remaja 2025.
Kekalahan kepada Pakistan tidak menjejaskan perjalanan pasukan bimbingan I. Vikneswaran untuk menempah tempat ke separuh akhir Piala Remaja Asia sekali gus menyambar enam slot yang ditawarkan ke Piala Dunia Remaja di India tahun depan.
Vikneswaran meluahkan rasa bangga terhadap persembahan pemain-pemain muda biarpun tidak dapat menyempurnakan beberapa peluang keemasan, namun mereka tetap menampilkan semangat juang tinggi dalam permainan.
“Kita mendapat penalti stroke seawal minit kedua tetapi gagal menyempurnakannya. Walaupun lebih banyak penguasaan bola, pukulan sudut penalti dan peluang jaringan berbanding Pakistan, namun keputusan tidak menyebelahi kita,” kata Vikneswaran.
Bagaimanapun, pengesahan tempat ke separuh akhir bertemu India hari ini memberikan makna berharga buat Young Tigers kerana bukan sahaja menjamin tiket ke Piala Dunia Remaja 2025 tetapi juga menunjukkan perkembangan positif dalam mutu permainan pemain.
“Saya berbangga dengan corak dan mutu permainan pemain-pemain hari ini dan kita bertemu India dalam perlawanan separuh akhir sekali gus memastikan kita melayakkan diri ke Piala Dunia Remaja 2025 di India tahun depan,” tambahnya.
Perlawanan menentang India dijangka menjadi cabaran sengit, namun Vikneswaran yakin skuad bimbingannya mampu memberikan saingan dengan strategi yang tepat.
“Ada banyak yang perlu kami lakukan agar pasukan bersedia untuk dua perlawanan seterusnya. Kami akan menjalankan sesi analisa sebagai persiapan menghadapi India dan melakukan beberapa rancangan taktikal,” jelasnya.