fbpx

Piala Malaysia: Selangor enggan salahkan VAR

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENYERANG Selangor, Alvin Fortes (kanan) diasak bek kiri Sri Pahang, Muhammad Syazwan Andik Ishak yang terjatuh pada aksi Piala Malaysia kelmarin. - FARIZ RUSADIO

JURULATIH baharu Selangor FC, Katsuhito Kinoshi menganggap anak-anak buahnya masih ‘mentah’ selepas tersingkir daripada saingan Piala Malaysia apabila tewas 2-3 secara agregat kepada Sri Pahang kelmarin.

Menurut Kinoshi, banyak perkara boleh dipelajari oleh pasukannya selepas mengalami dua kekalahan berturut-turut termasuk tewas 1-2 kepada Muangthong United dalam aksi Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) minggu lalu.

Malah, pengendali kelahiran Jepun itu turut percaya nasib skuad Gergasi Merah ketika ini tidak begitu baik selain faktor Video Bantuan Pengadil (VAR) juga tidak memihak kepada pasukan.

“Kita berdepan jadual yang padat tetapi dalam masa yang sama pasukan sudah melakukan persiapan yang baik bagi menghadapi dua perlawanan ini.

“Namun, pasukan tidak bernasib baik apabila tewas dengan dua gol kerana Video Bantuan Pengadil (VAR).

“Saya tidak mahu salahkan VAR kerana sistem ini adalah sebahagian daripada bola sepak dan saya juga tidak boleh katakan apa-apa mengenai pengadil.

“Apa yang pasti, saya mahu pemain belajar daripada kesilapan pada dua aksi terakhir dan berusaha untuk menghadiahkan kemenangan buat penyokong pada perlawanan akan datang,” katanya.

Bagaimanapun, pengendali berusia 60 tahun itu kekal positif selain percaya skuad Gergasi Merah masih memiliki masa depan yang cerah.

“Saya semakin kenal pemain dan mereka sebenarnya lebih baik daripada jangkaan saya sebelum tiba ke sini. Saya juga gembira melihat pemain berjuang untuk mendapatkan gol sehingga hujung permainan,” katanya.

Pada aksi di Stadium MBPJ, Sri Pahang meraih dua jaringan menerusi sepakan penalti yang disempurnakan oleh Manuel Hidalgo dan Sergio Aguero, manakala gol tunggal Selangor diledak Safuwan Baharudin.

Kekalahan tersebut menyakskan Gergasi Merah tersingkir ke kancah Piala Cabaran dan bakal bertemu Kelantan United di pusingan suku akhir nanti.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI