MADRID – Pengurus Real Madrid, Carlo Ancelotti memuji impak yang dipamerkan oleh penyerang sensasi, Kylian Mbappe selepas membantu pasukan melakar kemenangan 2-0 ke atas Getafe dalam aksi La Liga semalam.
Pada perlawanan itu, Mbappe berjaya menjaringkan satu gol sekali gus meledak jaringan kelapan musim ini, manakala satu lagi disumbangkan oleh Jude Bellingham.
Menurut Ancelotti, prestasi yang dipamerkan oleh Mbappe wajar dipuji terutama selepas dikritik hebat ketika gagal memberi impak yang diharapkan sewaktu menentang Liverpool dalam aksi Liga Juara-Juara Eropah (UCL) minggu lalu.
“Kita boleh lihat Mbappe bermain seperti yang kita kenali kerana mampu memberi ancaman kepada benteng pertahanan lawan sepanjang perlawanan. Saya gembira dia dapat menjaringkan gol untuk lonjak semula tahap keyakinannya.
“Saya harap penyokong terus bersabar dengan Mbappe kerana kita tahu kualiti yang ada padanya tetapi buat masa ini cabaran sebenar adalah cara untuk kekal konsisten,” kata pengendali dari Itali itu.
Sementara itu, Ancelotti mengakui ‘pening kepala’ apabila pasukannya terus dibelenggu kecederaan terutamanya selepas Bellingham terpaksa dikeluarkan sebelum babak kedua bermula.
“Kami telah ditimpa musibah apabila pemain-pemain utama seperti David Alaba, Eder Militao, Dani Carvajal, Vinicius Jr, Aurelien Tchouameni dan Eduardo Camavinga terpaksa disisihkan.
“Kini, giliran Bellingham tetapi saya difahamkan kecederaannya tidak begitu serius,” katanya. – AGENSI