SEBERANG PERAI – Dua sekawan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth, di sini hari ini atas dua pertuduhan melakukan perbuatan khianat menggunakan api dua hari berturut-turut pada September lalu.
Lee Ho Meng,26, dan Heng Xavier,23, membuat pengakuan tersebut setelah kedua-dua pertuduhan dibacakan secara bersama oleh jurubahasa di hadapan Hakim Nor Azah Kasran.
Mengikut kertas pertuduhan pertama, mereka didakwa secara bersama melakukan perbuatan khianat beserta niat hendak menyebabkan kebakaran dengan membuang botol berisi minyak petrol pada hadapan rumah di Lorong 8, Kampung Jawi di Sungai Bakap, kira-kira pukul 3.46 pagi, 16 September lalu.
Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa sengaja melakukan khianat dengan api beserta maksud hendak menyebabkan kemusnahan sebuah bangunan yang digunakan sebagai tempat simpanan harta benda serta kediaman di lokasi sama kira-kira pukul 2.20 pagi, 15 September lalu.
Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Amira Ruzaini Wan Abdul Razak menawarkan menawarkan jaminan RM12,000 seorang bagi setiap pertuduhan.
Hakim membenarkan jaminan RM14,000 setiap seorang bagi kedua-dua pertuduhan serta mengenakan syarat tambahan iaitu perlu melaporkan diri ke balai polis berhampiran setiap bulan sehingga kes selesai sekali gus menetapkan 8 Januari depan untuk sebutan semula kes. -KOSMO! ONLINE