TOKYO – Seekor beruang yang mengamuk di sebuah pasar raya Jepun selama dua hari diumpan keluar menggunakan makanan disaluti madu, diperangkap dan dijadualkan dibunuh hari ini, kata beberapa pegawai tempatan.
Jepun mempunyai masalah dengan beruang. Negara itu mencatatkan enam kematian manusia akibat serangan beruang, manakala lebih 9,000 beruang dihapuskan pada tahun fiskal sebelumnya.
Dalam insiden terbaharu, polis menerima panggilan kecemasan awal kelmarin bahawa seekor beruang mencederakan seorang lelaki berumur 47 tahun di sebuah pasar raya di Akita dalam pulau utama, Honshu.
“Luka pada kepala lelaki itu akan mengambil masa sekurang-kurangnya seminggu untuk sembuh selepas jahitan dibuka,” kata seorang jurucakap polis kepada AFP.
Pasar raya itu dikosongkan bersama beruang di dalamnya. Haiwan itu menyelongkar bahagian daging di premis tersebut, demikian menurut akhbar Asahi Shimbun.
Akhirnya, awal hari ini, beruang itu masuk perangkap yang mengandungi ‘bijian beras, pisang, epal dan gula, semuanya diselaputi dengan madu,” kata seorang pegawai tempatan kepada AFP.
Beruang itu akan dihapuskan hari ini, kata jurucakap polis tersebut. – AFP