TAMPIN – Muatan kaca dari sebuah lori jatuh bertebaran di atas jalan di Kilometer 38, Jalan Tampin – Gemas berdekatan gerai lemang, di sini, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Amiruddien Sariman berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 2.40 pagi itu, pemandu lori iaitu lelaki berusia 45 tahun dalam perjalanan dari kilang kaca di Senawang ke kilang kaca di Segamat, Johor.
“Apabila sampai di tempat kejadian, semasa sedang bergerak, penghadang besi pemegang cermin telah patah dan menyebabkan cermin tersebut mengelungsur jatuh lalu berselerak di atas jalan.
“Hasil siasatan mendapat lori tersebut membawa muatan cermin sebanyak 120 keping. Difahamkan, 30 keping kaca telah jatuh ke jalan, manakala, 30 lagi rosak di atas lori. Selebihnya dalam keadaan selamat.
“Pihak polis dari Balai Polis Gemas telah ke lokasi kejadian dan telah memaklumkan kepada pihak bomba untuk kerja pembersihan kaca agar tiada perkara tidak diingini berlaku,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, pemandu lori yang tidak ingin dikenali berkata, dia sangat bersyukur kerana ketika kejadian tiada pengguna jalan raya yang lain terutamanya penunggang motosikal berada di atas jalan.
“Masa jadi tu kaca memang penuh atas jalan. Saya segera hubungi pihak berkuasa bagi membantu membersihkan jalan kerana bimbang ada pengguna jalan raya yang cedera,” katanya. – KOSMO! ONLINE