fbpx

Dewan Negara: Penggubalan Akta 850 tetapkan sasaran KDNK bawah 25 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Amir Hamzah di Dewan Negara hari ini.

PETALING JAYA – Penggubalan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 [Akta 850] menetapkan sasaran jaminan kewangan sebagai peratusan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tidak melebihi 25 peratus bagi mengekang peningkatan liabiliti yang perlu ditanggung kerajaan.

Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, penggubalan akta itu merupakan langkah penting dalam usaha Malaysia ke arah meningkatkan disiplin fiskal dan memastikan kestabilan makroekonomi.

“Akta 850 menyediakan panduan dan penerangan yang jelas dalam menggubal dasar fiskal bagi mengukuhkan kedudukan kewangan Kerajaan Persekutuan dalam jangka masa sederhana dan panjang.

“Prinsip kebertanggungjawaban fiskal Akta ini terpakai kepada seluruh jentera Kerajaan Persekutuan termasuk agensi,” katanya di Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Senator Datuk Judiet Fidilis@Noraini Idris yang meminta Kementerian Kewangan menyatakan bagaimanakah prinsip kebertanggungjawaban fiskal yang digariskan dalam Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal (2023) dapat meningkatkan rasionalisasi pelaburan wang awam yang dilakukan oleh agensi Kerajaan dengan mengambil iktibar daripada kerugian pelaburan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dalam FashionValet (FV).

Sementara itu, Amir Hamzah berkata, kerajaan juga sedang melaksanakan langkah pembaharuan institusi dan tatakelola bagi meningkatkan kecekapan perbelanjaan dan memastikan pelaburan memberi nilai faedah terbaik.

“Antara langkah yang telah dan akan dilaksanakan termasuk pengenalan garis panduan mengenai pengurusan dan tatakelola Badan Berkanun Persekutuan (BBP) bertujuan menambah baik pengurusan dan tatakelola BBP.

“Selain itu, penambahbaikan kerjasama awam-swasta (PPP) seperti yang digariskan di bawah Pelan Induk Kerjasama Awam Swasta 2030 (PIKAS 2030) yang menekankan mekanisme pembayaran oleh pengguna (user-pay) dan Pindaan Akta Audit 1957 bagi menambah baik mekanisme semak dan imbang pengurusan dana awam,” katanya.

Turut dilaksanakan ialah penggubalan Akta baharu untuk menambah baik perolehan Kerajaan.

“Merujuk kepada kerugian yang dialami dalam pelaburan terhadap FV, Khazanah dan PNB mengiktiraf sifat risiko dan ganjaran dalam pelaburan modal teroka dan oleh yang demikian, pelaburan dalam modal teroka diuruskan sebagai satu portfolio, dengan prestasi dinilai berdasarkan keseluruhan portfolio dan bukannya pelaburan tertentu,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI