KUCHING – Mahkamah Majistret di sini, hari ini membenarkan tahanan reman ke atas tiga lelaki tempatan yang disyaki membunuh seorang seorang lelaki di sebuah pangsapuri di Jalan Sungai Tapang, semalam.
Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Ling Hui Chuan terhadap ketiga-tiga suspek yang berusia 22 hingga 25 tahun mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.
Suspek pertama dan kedua yang tidak diwakili peguam direman selama tujuh hari sementara menunggu dihadap semula ke mahkamah pada 9 Disember depan.
Suspek ketiga yang diwakili peguam Voon Lee Shan direman empat hari dan akan dihadapkan semula ke mahkamah pada 6 Disember depan.
Permohonan reman dilakukan oleh Pembantu Pegawai Penyiasat Mohd. Safuan Mohd Nasir.
Dalam kejadian yang dilaporkan kira-kira pukul 4.40 pagi semalam, seorang lelaki berusia 22 tahun ditemukan meninggal dunia di dalam sebuah bilik di unit pangsapuri tersebut dengan kesan tetakan pada bahagian badan.
Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Mohd. Irwan Hafiz Md. Radzi berkata susulan itu, pihaknya menangkap ketiga-tiga suspek kira-kira pukul 12 tengah hari semalam di pekarangan Balai Polis Kota Sentosa.