BATU GAJAH – Kementerian Pengangkutan (MOT) berharap kerajaan negeri akan bekerjasama dengan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) untuk membangunkan pusat kargo di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) di Ipoh.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pihaknya sedang menilai cadangan kerajaan negeri mengenai pembangunan pusat kargo tersebut.
“LTSAS kini sedang melalui proses pengubahsuaian dan saya yakin projek ini akan siap tidak lama lagi, dengan penambahbaikan untuk keselesaan penumpang.
“Pengubahsuaian yang bermula awal tahun ini dikenali sebagai ‘optimization’, termasuk perubahan susun atur kaunter daftar masuk dan penambahan kaunter baru,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Jamuan Pengumpulan Dana Bangunan DAP Parlimen Batu Gajah di Dewan Konvensyen Pusing semalam.
Menurutnya, walaupun Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) tidak berstatus lapangan antarabangsa, ia tetap menerima penerbangan dari luar negara.
Anthony berkata, berhubung kerja-kerja penaiktarafan LTSAS, MAHB telah pun melaksanakan kerja-kerja tersebut sejak awal tahun ini. – KOSMO! ONLINE