fbpx

Dewan Rakyat: ‘Zero Dependency’ menjelang 2030 mungkin tidak direalisasikan sepenuhnya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Akmal Nasrullah.

PETALING JAYA – Sasaran bagi mencapai ‘Zero Dependency’ bagi mengurangkan kebergantungan kepada air terawat daripada Singapura menjelang tahun 2030 mungkin tidak dapat direalisasikan sepenuhnya.

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, perkara itu kerana mengambil kira pertumbuhan sektor industri seperti pusat data dan semikonduktor.

“Untuk mengurangkan kebergantungan kepada Singapura, projek ‘Zero Dependency’ telah dirangka dan sedang dilaksanakan bertujuan meningkatkan kapasiti simpanan air mentah dan terawat, sekaligus memastikan Johor mampu memenuhi keperluan air secara mandiri dalam jangka panjang.

“Antara projek utama adalah pembinaan Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) di Sungai Johor (Sungai Lebak), pembinaan baraj di Sungai Sedili Besar, serta pembinaan loji rawatan air seperti Loji Rawatan Air Layang 2 dan Loji Rawatan Air Semangar 3,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dikemukakan Hassan Karim (PH-Pasir Gudang) sama ada kerajaan akan berbincang dengan Kerajaan Singapura untuk mengkaji semula Perjanjian Sungai Johor tahun 1962 yang tidak adil kerana membenarkan Singapura menerima 250 juta gelen air dari Johor sehingga tahun 2061 pada kadar 3 sen bagi setiap 1,000 gelen.

Menjawab soalan itu, Akmal Nasrullah berkata, dalam isu kadar jualan air mentah kepada Singapura berdasarkan Perjanjian Air 1962, Kerajaan Malaysia mengambil pendekatan yang berhati-hati dan teliti.

“Sebarang perubahan terhadap kadar ini perlu mempertimbangkan implikasi terhadap kos pembelian air terawat daripada Singapura, yang menjadi keperluan kritikal bagi negeri Johor.

“Hal ini penting bagi memastikan sebarang langkah yang diambil tidak membebankan rakyat,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI