FLORENCE – Pihak pengurusan Fiorentina menarik nafas lega apabila pemain tengahnya, Edoardo Bove disahkan stabil selepas rebah secara tiba-tiba ketika mewakili pasukan menentang Inter Milan dalam saingan Serie A semalam.
Pada perlawanan di Stadium Artemio Franchi itu, Bove, 22, rebah ketika saingan memasuki minit ke-17 sebelum dibawa ke hospital berdekatan untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Fiorentina dalam satu kenyataan mengesahkan Bove sudah stabil tetapi masih lagi ditempatkan dalam unit rawatan rapi (ICU) di Hospital Universiti Careggi.
“Bove telah dikejarkan ke zon kecemasan dan kami disahkan tiada sebarang kecederaan melibatkan otak atau sistem saraf selepas ujian kardiologi serta neurologi dilakukan oleh pegawai perubatan.
“Bove kini dalam keadaan stabil tetapi masih belum sedarkan diri dan ditempatkan di ICU Hospital Universiti Careggi,” menurut kenyataan tersebut.
Sementara itu, Presiden Inter Milan, Beppe Marotta mengesahkan pihaknya bersetuju untuk perlawanan itu ditangguhkan sebagai tanda solidariti selain percaya nyawa pemain lebih penting daripada bola sepak.
“Saya bangga dengan semua pihak yang memberikan kerjasama di atas padang dan di luar padang kerana apabila kejadian seperti ini berlaku, memang kita akan mohon untuk perlawanan ditangguhkan kerana ada perkara lebih besar berbanding bola sepak,” katanya.
Sebagai rekod, Inter selaku juara bertahan, ketika ini berada di tangga kedua, ketinggalan lima mata di belakang Napoli di puncak Serie A sementara Fiorentina di kedudukan ketiga. – AGENSI