PETALING JAYA – Selangor FC mendapat semangat baharu untuk menghadapi baki saingan musim ini meskipun keputusan tidak memihak mereka sejak kebelakangan ini.
Setakat ini, nasib seakan tidak menyebelahi mereka apabila baru mencatat satu kemenangan daripada enam perlawanan terakhir ketika menewaskan Kedah Darul Aman FC 1-0 pada 2 November lalu.
Dan terbaharu Selangor terpaksa melupakan hasrat ke suku akhir Piala Malaysia apabila tewas 1-2 kepada Sri Pahang FC dalam aksi suku akhir menerusi agregat 2-3 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) semalam.
Begitupun, Selangor perlu segera bangkit daripada segala kekecewaan itu dengan menumpukan sepenuh focus untuk aksi terakhir Kumpulan H Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL) menentang Cebu dari Filipina pada Khamis ini.
Kehadiran First Pride Malaysia sebagai ‘keluarga baharu’ Selangor selaku rakan snek utama kelab tersebut tentunya mampu menyuntik semangat skuad Gergasi Merah selepas ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Selangor, Dr. Johan Kamal Hamidon gembira dengan kerjasama antara pihaknya bersama jenama nuget ayam di bawah Tyson Foods Malaysia itu bagi memberikan pengalaman tambahan kepada para peminat di stadium.
“Kami amat gembira dan mengalu-alukan First Pride Malaysia ke dalam keluarga Selangor. Kerjasama ini lebih daripada sekadar makanan, ia juga mengenai memberi pilihan kepada peminat dan kami teruja untuk membawa pilihan makanan inovatif kepada komuniti Selangor FC,” katanya dalam satu kenyataan.
Kerjasama itu bakal meningkatkan pengalaman stadium kepada peminat-peminat dengan snek berasaskan ayam halal berkualiti tinggi semasa perlawanan Selangor di Stadium MBPJ yang akan dijual di FAS Food.
Sementara itu, Pengarah Pemasaran First Pride Malaysia, Freddie Wong yakin pelaburan bersama Selangor boleh dimanfaatkan sebaiknya sama ada pasukan utama utama atau pembangunan belia dengan tujuan untuk mengenal pasti generasi bintang masa depan.
Kerjasama itu juga akan melibatkan pelbagai aktiviti seperti sesi beramah mesra dengan pemain-pemain utama, hadiah tiket perlawanan dan inisiatif lain untuk mengeratkan hubungan dengan komuniti serta memberi ganjaran kepada peminat Selangor atas sokongan mereka. – KOSMO! ONLINE