IPOH – Mangsa banjir di negeri ini terus meningkat apabila 590 orang dari empat buah daerah dilaporkan terjejas dengan bencana tersebut setakat pukul 8 hari ini.
Jurucakap Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Perak berkata, jumlah tersebut meningkat dari 340 orang mangsa yang direkodkan pada tengah malam tadi.
“Kesemua 590 mangsa dari 177 buah keluarga itu ditempatkan di sembilan buah pusat penempatan sementara (PPS) yang dibuka ekoran banjir.
“Kinta menjadi daerah paling teruk terjejas dengan 430 mangsa (125 keluarga) ditempatkan di enam buah PPS yang dibuka,” katanya di sini hari ini.
Menurut jurucakap itu, Kampar pula merekodkan seramai 61 mangsa (23 keluarga) yang ditempatkan di sebuah PPS, diikuti Hilir Perak apabila 52 mangsa dari 17 buah keluarga menghuni sebuah PPS yang dibuka.
Ujarnya, seramai 47 orang mangsa dari 12 buah keluarga di Larut Matang dan Selama pula ditempatkan di sebuah PPS. – KOSMO! ONLINE