KLANG – Lambakan jalan berlubang di sekitar Pelabuhan Klang dilihat semakin membimbangkan kerana boleh mengakibatkan kemalangan maut kepada penunggang motosikal yang melalui laluan tersebut.
Perkara itu dibangkitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang , Azmizam Zaman Huri berkata, beliau berasa kecewa tiada unit rondaan JKR melakukan pemantauan termasuk terdapat aktiviti penampalan pada lubang itu.
“Kalau saya boleh buat (meronda lihat lubang-lubang yang belum ditampal) takkan Ketua Pengarah JKR tidak boleh buat.
“Adakah tunggu orang mati lagi (baru tampal). Jadi, saya beri seminggu untuk lihat semua lubang-lubang di Pelabuhan Klang ditampal,” katanya menerusi aplikasi TikTok.
Beliau menegaskan, hari Ahad adalah waktu yang sesuai untuk kerja-kerja pembaikan jalan ekoran tidak mempunyai banyak kenderaan.
“Lihat jalan di atas jambatan di Jalan Kem menghala Northport yang berlubang di sana- sini. Jalan berlubang ini tambah berbahaya pada waktu malam dan hari hujan jika ia dilanggar penunggang motosikal,” jelasnya.
Mengulas lanjut, Azmizam dalam video terbaharu itu turut menggesa agar struktur ‘expansion joint’ yang terjejas turut segera diperbaiki. – KOSMO! ONLINE