PUTRAJAYA – Warga perkhidmatan awam digesa untuk mempertingkatkan perkhidmatan dengan memastikan prestasi jauh lebih baik berbanding sebelumnya berikutan pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) bermula bulan ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, rakyat sentiasa mahu melihat perubahan pada seluruh sistem perkhidmatan awam sama ada di peringkat akar umbi mahupun kementerian.
“SSPA telah bermula bulan ini. Seperti yang dijanjikan, tahniah kepada mereka yang mendapat kenaikan.
“Saya percaya dengan semangat ini, walaupun prestasi baik, kita harus tingkatkan,” katanya dalam ucapan di Perhimpunan Bulanan Warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini tadi.
Jelasnya, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar akan memperkenalkan beberapa langkah reformasi dalam perkhidmatan awam.
“Saya berharap saudara memberikan sokongan penuh,” katanya.
Sebelum ini, seramai 85 peratus penjawat awam dilaporkan sudah menandatangani opsyen SSPA.
Pelaksanaan SSPA yang menggantikan Skim Saraan Malaysia (SSM) mulai 1 Disember 2024 menyaksikan kumpulan pelaksana menikmati pelarasan gaji tertinggi sehingga 42.7 peratus manakala tujuh peratus bagi kumpulan pengurusan tertinggi. – KOSMO! ONLINE