TUMPAT – Seramai 34 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Sekolah Menengah Ugama Arab (SMUA) Nurul Huda, Kajang Sebidang di sini yang terjejas banjir bermalam di masjid sebelum menaiki trak Angkatan Tentera (ATM) untuk ke dewan peperiksaan hari ini.
Kesemua pelajar terlibat tidur di Masjid Khairiah Mukim Chabang Empat di sini sebelum menduduki SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chabang Empat apabila kawasan berhampiran sekolah itu dinaiki air.
Seorang pelajar, Noor Balqis Omar, 17, berkata, keadaan banjir ketika ini menyebabkan dia tidak bersedia menduduki ujian bertutur Bahasa Melayu hari ini terpaksa berpindah sekolah.
Menurutnya, dia mengakui emosinya terganggu apabila rumah keluarga tenggelam, namun masih sempat menyelamatkan uniform sekolahnya untuk dipakai hari ini.
“Rumah saya di Kajang Sebidang dinaiki air lebih dua meter. Kami sekeluarga sudah seminggu menumpang di kedai gunting bapa saudara di Chabang Empat.
“Kawan-kawan saya yang lain bermalam di masjid tempat lokasi kami berkumpul. Kebetulan kedai gunting bapa saudara hanya beberapa meter sahaja dengan masjid,” katanya ketika ditemui pemberita di SMK Chabang Empat di sini hari ini.
Seorang lagi calon SPM, Umi Fara Qistina Maliki, 17, berkata, meskipun rumah keluarganya di Kampung Bahagia disini tidak dinaiki air, namun terkepung akibat banjir.
Katanya, dia menaiki trak pikap bapanya untuk meredah banjir sebelum menaiki trak ke SMK Chabang Empat.
“Pihak sekolah meminta saya tinggal di asrama, tetapi saya tolak kerana khuatir tidak dapat fokus ketika mengulang kaji pelajaran kerana lebih selesa berada di rumah,” katanya. – KOSMO! ONLINE