PETALING JAYA – Isu keciciran pembelajaran, pencapaian Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) dan perkhidmatan mesin pengimbasan pasport automatik di semua pintu masuk negara antara tumpuan perbincangan Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) meminta Menteri Pendidikan menyatakan status semasa pelaksanaan Intervensi Kurikulum Murid Tahap Satu bagi menangani isu keciciran pembelajaran.
Selain itu, beliau juga ingin tahu berhubung impak positif penjajaran semula standard pembelajaran dan kandungan bagi mata pelajaran Sains dan Matematik terhadap bebanan guru di sekolah rendah dan menengah.
Sementara itu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar (PN-Kemaman) mengajukan soalan kepada Menteri Pendidikan Tinggi mengenai pencapaian Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) bagi tempoh 2015 hingga Ogos lepas.
Pada sesi sama, RSN Rayer (PH-Jelutong) meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan usaha menambah baik perkhidmatan dan bilangan mesin pengimbasan pasport automatik di semua pintu masuk negara termasuk lapangan terbang dan pelabuhan untuk memudahkan urusan kemasukan pelancong asing. – KOSMO! ONLINE