KUALA NERUS – Semua 261 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang terjejas banjir di Terengganu telah dibantu penghantaran ke pusat peperiksaan alternatif masing-masing bagi menjalani ujian lisan Bahasa Melayu pagi ini.
Pengarah Pendidikan Terengganu, Jelani Sulong berkata, penghantaran calon SPM yang juga mangsa banjir terbabit berjalan lancar mengikut prosedur operasi standard (SOP) Ops Payung ditetapkan.
Beliau berkata, tinjauan mendapati 16 pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Kemunting di sini bersemangat untuk menghadiri ujian lisan Bahasa Melayu di pusat peperiksaan alternatif di SMK Tengku Mizan Zainal Abidin di sini.
“Alhamdulillah semuanya nampak ceria dan semangat untuk menghadiri ujian pertuturan Bahasa Melayu yang diadakan di SMK Tengku Mizan Zainal Abidin pagi ini.
“Cuaca juga agak baik dan saya dimaklumkan proses penghantaran semua calon SPM negeri ini ke pusat peperiksaan alternatif berjaya dilaksanakan tanpa sebarang masalah,” katanya ketika ditemui sewaktu meninjau penghantaran calon SPM SMK Padang Kemunting hari ini.
Dalam perkembangan sama, Jelani memberitahu seramai 1,734 calon SPM dari 20 buah sekolah melibatkan enam daerah di Terengganu telah dikenalpasti terjejas akibat bencana banjir itu.
“Sebahagian besar iaitu 1,155 calon telah ditempatkan di lapan asrama lebih awal,” katanya. – KOSMO! ONLINE