PETALING JAYA – Romantik dan kelakar antara ciri lelaki idaman bagi pempengaruh sensasi, Ameera Khan untuk dijadikan kekasih.
Ameera atau nama lengkapnya Nur Ameera Abdul Halim Khan, 24, berkata, kedua-dua itu merupakan perkara penting buat dirinya dalam soal menentukan pasangan.
Malah, adik kepada pengacara dan usahawan Neelofa itu turut mengharapkan pasangannya nanti dapat menghormati dan menyokong kerjayanya.
“Romantik dan kelakar, kedua-duanya penting jadi saya pilih dua-dua. Bagi penampilan, gaya kasual dengan kemeja-T sudah memadai.
“Rambut pula bergaya sederhana. Tentulah saya ingin dia menyokong kerjaya dan apa jua yang saya lakukan,” katanya dalam satu video temu bual di TikTok.
Dalam pada itu, Ameera memberitahu, ketinggian lelaki tersebut bukanlah hal utama yang diambil kira.
“Sama ada tinggi atau rendah, paling penting lelaki itu perlu mempunyai keyakinan. Saya suka dengan lelaki yang boleh menjadi pendengar yang baik.
“Bagi saya, dia perlu menjadi seseorang yang bercita-cita tinggi. Penting untuk dia mempunyai visi terhadap diri sendiri kerana bagi saya itu perkara yang amat diperlukan,” katanya.
Sebelum ini, Ameera menarik perhatian khalayak apabila memuat naik video bersama pelakon Indonesia, Jefri Nichol.
Terdahulu beberapa individu popular termasuk pelakon Meerqeen turut pernah dikaitkan dengan dakwaan mempunyai hubungan istimewa dengan Ameera. – KOSMO! ONLINE