fbpx

Karnival Soul Journey Belia Asnaf sempena 50 tahun MAIWP sukses

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd Na'im (tengah) bersama Pengerusi MAIWP, Syed Kamarulzaman Syed Kabeer (lima kiri) bergambar bersama pemberi sumbangan cek cura selepas merasmikan Karnival Soul Journey Belia Asnaf sempena 50 Tahun MAIWP di Kolej Profesional Baitulmal Kuala Lumpur (KPBKL), semalam. Foto oleh FARIZ RUSADIO

KUALA LUMPUR – Kira-kira 2,000 pengunjung hadir memeriahkan Karnival Soul Journey Belia Asnaf bersempena sambutan ulang tahun ke-50 Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), di pekarangan Kolej Profesional Baitulmal Kuala Lumpur (KPBKL), semalam.

Karnival berkenaan dianjurkan sebagai tanda sokongan terhadap para belia KPBKL di samping mendidik golongan itu meneruskan kehidupan dengan pengisian rohani.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd. Na’im Mokhtar berkata, Karnival Soul Journey Belia Asnaf itu buat julung kalinya dilaksanakan dengan kerjasama KPBKL.

“Kita namakan sebagai ‘Soul Journey’ sebab ia ada pengisian santai berbentuk ilmu dan motivasi kepada anak-anak KPBKL untuk menjadi generasi serta khalifah yang mampu mengubah masyarakat pada masa akan datang.

“Menjadi harapan saya agar dengan penganjuran karnival berkenaan, memberi ruang serta peluang kepada pengurusan KPBKL dan MAIWP untuk menyantuni golongan belia ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan program Karnival Soul Journey Belia Asnaf yang berlangsung sehari bermula pada pukul 8 pagi sehingga 11 malam.

Ketika majlis perasmian, MAIWP turut menyampaikan dana pada tahun ini berjumlah RM20,549,350 juta kepada KPBKL menerusi simbolik penyerahan cek cura.

Sumbangan itu melibatkan peruntukkan dana zakat berjumlah RM19.85 juta, manakala RM699,350 lagi adalah bantuan daripada pelbagai syarikat korporat.

Ia merangkumi bantuan seperti wakalah zakat, peralatan pendidikan, dan pembinaan infrastruktur baharu seperti makmal komputer bagi membantu pelajar di KPBKL melanjutkan pengajian mereka dalam pelbagai jurusan.

Mohd Na’im (tengah) menyaksikan Pemangku Ketua Regawai Eksekutif MAIWP, Datuk Mohd Nizam Yahya (kanan) menyerahkan cek cura bantuan pelajar kepada Ketua Pegawai Eksekutif KPBKL, Prof. Madya Dr. Muhammad Firdaus Low Abdullah (dua kiri) selepas perasmian Karnival Soul Journey Belia Asnaf sempena 50 Tahun MAIWP di KPBKL, semalam. – Foto oleh FARIZ RUSADIO

Mengulas lanjut Mohd. Na’im berkata, beliau berharap supaya bantuan yang diberikan tidak bersifat one-off (sekali beri) dan perlu dimanfaatkan sebaik mungkin.

“85 peratus belia KPBKL adalah golongan asnaf. Mereka sangat istimewa dan kita harapkan santunan seperti ini dapat beri semangat kepada mereka untuk lakukan perubahan diri.

“Sebab itu saya tidak mahu sumbangan ini bersifat one-off. Kita mahu mereka keluar dari kepompong kemiskinan dan mengubah nasib keluarga sekali gus menjadi pembayar zakat pada masa akan datang,” ujarnya.

Karnival Soul Journey Belia Asnaf pada kali ini berlangsung sukses dengan kehadiran pelbagai lapisan masyarakat termasuk belia asnaf, wakil sektor korporat, dan badan bukan kerajaan (NGO).

Pelbagai pengisian disediakan sepanjang karnival antaranya ziarah asnaf, sesi motivasi, pertandingan sukan, e-sukan, dan reruai pameran agensi serta syarikat di bawah MAIWP.

Mohd Na’im (tengah) menyertai Konvoi Motosikal Ziarah Asnaf ke Projek Perumahan Rakyat (PPR) Perkasa pada Karnival Soul Journey Belia Asnaf sempena 50 Tahun MAIWP di KPBKL, semalam. Foto oleh FARIZ RUSADIO

Terdapat juga penyertaan trak makanan (foof truck) milik usahawan MAIWP, gerai makanan asnaf, selain pelbagai program kerohanian serta cabutan bertuah.

Sementara itu, Pengerusi KPBKL, Zuri Zabuddin Budiman mengucapkan terima kasih kepada MAIWP di atas inisiatif berkenaan.

Katanya, Karnival Soul Journey Belia Asnaf itu adalah lambang komitmen bersama di antara MAIWP dan KPBKL dalam memperkasakan golongan asnaf melalui pendidikan, bimbingan, dan peluang pembangunan diri.

“Pelbagai program akademik dirangka dan ditawarkan di KPBKL untuk memenuhi keperluan pasaran pekerjaan serta melahirkan graduan yang berdaya saing, berintegriti, dan berpegang teguh pada nilai Islam.

“Sepanjang penubuhannya, kami berjaya melahirkan lebih 16,000 graduan yang kini berkhidmat dalam pelbagai sektor. Oleh kerana itu, sumbangan dan kerjasama anda semua amat kami hargai,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI