KUALA LUMPUR – Hajat Kedah Darul Aman FC (KDA FC) untuk mara ke suku akhir Piala Malaysia tidak terlaksana apabila tewas 4-6 secara agregat kepada Kuala Lumpur City.
Pada aksi kedua pusingan 16 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, sebentar tadi, Kuala Lumpur yang tewas 2-3 pada perlawanan pertama mengesahkan kemaraan apabila mencatatkan kemenangan 4-1.
Di awal perlawanan, aksi agak seimbang dipamerkan kedua-dua pasukan namun segalanya berubah selepas KL City memperoleh gol pertama menerusi Paulo Josue pada minit ke-14.
Minit ke-16, bintang muda KL City, Haqimi Azim Rosli sepatutnya mampu meledak gol kedua sebaliknya tolakannya sekadar singgah di sisi gawang KDA FC.
Bagaimanapun, selang dua minit selepas itu kekecewaan tuan rumah terubat apabila Jovan Motika menghasilkan gol kedua.
Walaupun KDA FC cuba beri tentangan, usaha itu seakan sukar memandangkan KL City sering melakukan tekanan awal setiap kali pasukan lawan mengawal bola.
Sebaik memasuki minit ke-41, Ryan Lambert menambah gol ketiga KL City sekaligus beri kelebihan dua gol buat The City Boys secara agregat.
Lima minit selepas aksi bersambung, pelawat hampir memperoleh gol pertama namun penjaga gol KL City, Azri Ghani nyata lebih bersedia untuk melakukan tepisan sepakan percuma Cleylton Dos Santos.
Usaha bertali arus yang dilancarkan KDA FC akhirnya membuahkan hasil apabila memperoleh gol pertama menerusi pemain gantian, Milos Gordic pada minit ke-74.
Bagaimanapun Zhafri Yahya segera mematikan sisa perjuangan KDA FC apabila meledak gol keempat KL City pada masa kecederaan babak kedua.
Di peringkat suku akhir, tugas berat menanti KL City apabila dijadualkan bertemu juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT). – KOSMO! ONLINE