BAGAN DATUK – Kementerian Kemajuan Desa Dan Wilayah (KKDW) melakar rekod cemerlang apabila menjadi kementerian terawal menyempurnakan pelaksanaan projek Kampung Angkat Madani (KAM).
Kejayaan itu menyaksikan KKDW mendahului 43 kementerian lain yang turut dipertanggungjawabkan dengan projek KAM masing-masing.
KAM diperkenalkan dalam Belanjawan 2024 bagi menentukan penanda aras terbaik dalam memastikan capaian liputan kemudahan asas air, elektrik, jalan, lampu jalan, kemudahan masyarakat dan capaian internet dapat dipertingkatkan melalui pendekatan Whole of Government.
Setiap Ketua Setiausaha (KSU) dan Ketua Pengarah (KP) di setiap kementerian perlu memilih satu kampung yang mempunyai liputan kemudahan di bawah 50 peratus bagi pelaksanaan projek berkenaan dengan maksimum RM2.5 juta diperuntukkan bagi setiap kampung di bawah Belanjawan 2024.
Kampung Sungai Betul di Bagan Datuk telah dipilih sebagai KAM oleh KKDW. Peruntukan sebanyak RM2.5 juta telah dibelanjakan bagi pelaksanaan pelbagai projek-projek fizikal dan bukan fizikal di kampung ini.
KKDW telah bekerjasama dengan Pejabat Tanah dan Daerah (PDT) Bagan Datuk bagi pelaksanaan KAM dan telah melantik Pejabat KKDW Negeri Perak, Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), Felcra Bina dan PDT Bagan Datuk sebagai agensi pelaksana bagi projek fizikal KAM KKDW di Kampung Sungai Betul.
Bagi projek bukan fizikal atau projek komuniti, ia dilaksanakan oleh Bahagian Komuniti Desa (KD), KKDW dan juga pihak Institut Kemajuan Desa (INFRA) dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UiTM) Perak dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Terdapat 14 projek telah dilaksanakan di bawah KAM KKDW yang melibatkan lapan projek fizikal seperti naik taraf Jalan Perhubungan Desa Kampung Sungai Ular ke Beting Beras Basah, Jalan Ladang Pertanian Kg. Sg. Betul, Dewan Orang Ramai Kg. Sg. Betul, Padang Bola Sepak Kg. Sg. Betul, Pagar di Beting Beras Basah, Surau Idrisiah dan Masjid Ismailiah, baik pulih Titi Sg. Balai dan Titi Klinik Desa Sg. Balai dan Rumah Rakyat Miskin/B40.
Enam projek bukan fizikal pula adalah Gotong Royong Keceriaan Kampung Sungai Betul, Bagan Datuk, Program Tautan Desa Madani KKDW, Kursus Kek dan Pastri (Giat MARA), Kursus Penyelengaraan Motorsikal (Giat MARA), Program Mobile Learning: Hands-On Pengurusan Desa (INFRA) dan Kursus Kecemerlangan Belia Luar Bandar (INFRA).
Secara keseluruhannya, sehingga 30 November lalu, prestasi pelaksanaan KAM KKDW adalah sebanyak 100 peratus dan prestasi perbelanjaan adalah 100 peratus juga iaitu RM2.5 juta.
Ini merupakan satu kejayaan kepada KKDW kerana telah berjaya menyiapkan dan melaksanakan perbelanjaan sebanyak RM2.5 juta pada tahun semasa iaitu 2024.
Menteri KKDW yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi semalam menyempurnakan Program Tautan Desa Madani di Kampung Sungai Betul.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Sungai Betul, Mad Sahril Ahmad berkata, kampung tersebut menerima pelbagai manfaat apabila dipilih sebagai KAM KKDW.
“Kita dapat lihat begitu banyak projek yang dilaksanakan oleh pihak kementerian di kampung ini yang mana ia mendatangkan limpahan rezeki kepada warga Kampung Sungai Betul.
“Antaranya daripada sudut penjanaan ekonomi setempat apabila Beting Beras Basah terlibat dalam projek kemajuan kampung tersebut. Industri ekopelancongan di sana kembali rancak dengan pelbagai aktiviti seperti kayak, sampan cruise dan kenderaan lasak pelbagai bentuk permukaan bumi,” katanya.
Ujarnya, kehadiran pelancong dari dalam dan luar negeri ke Bagan Datuk juga banyak membantu dari sudut ekonomi warga kampung itu.
Seorang peniaga di Beting Beras Basah, Zalina Bas 42, berkata, dia dan rakan-rakan peniaganya yang lain gembira apabila lokasi tersebut mendapat ‘nafas baharu’ menerusi projek KAM KKDW.
“Kami berniaga macam-macam di sini seperti mi kari, popia, laksa, kek dan kuih-muih. Sebelum ini lokasi itu kurang dikunjungi orang ramai namun kini terutanya pada hujung minggu memang tak menang tangan.
“Bahkan, projek baik pulih jalan-jalan kampung turut mendatangkan kelegaan kepada orang kampung kerana tidak perlu bimbang sekiranya berselisih dengan kenderaan lain kerana keadaan jalan yang lebih selamat dan selesa,” katanya. -KOSMO! ONLINE