SHAH ALAM – “Bukan Shahidan sahaja bertemu saya,”
Demikian kata Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berhubung pertemuan dengan beberapa ahli politik dalam usaha membawa keluar BN daripada kerajaan perpaduan.
Namun, kata Ahmad Zahid yang merupakan Timbalan Perdana Menteri segala perincian mengenainya pertemuan tersebut telah dimaklumkan kepada Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Rahsia. Kalau saya berkongsi dengan umum bukan lagi menjadi satu rahsia. Oleh sebab itu, biarlah saya berbincang dengan pemimpin-pemimpin tertentu sahaja.
“Saya telah maklumkan butiran terperincinya kepada Perdana Menteri supaya kita berjaga-jaga agar pisang tidak berbuah dua kali,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen BN Selangor hari ini.
Sebelum ini, Ahmad Zahid dilaporkan mendakwa terdapat usaha untuk menarik BN keluar daripada kerajaan perpaduan, seterusnya mengangkat individu daripada BN sebagai perdana Menteri.
Malah, Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hamzah Zainudin mengesahkan ahli parlimen PN bertemu dengan Ahmad Zahid dengan perbincangan itu hanyalah antara dua sahabat lama dan tanpa mandat daripada kepimpinan PN.
Ketika mengulas cadangan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin
penggabungan kesemua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu berada di bawah satu badan, Ahmad Zahid menegaskan enggan mencampuri perkara itu.
“Saya tidak mahu campur tentang mana-mana pemimpin yang gila talak,” tegasnya. – KOSMO! ONLINE