DORTMUND – Bayern Munich terpaksa membayar harga mahal terhadap satu mata diraih ke atas Borussia Dortmund awal pagi semalam apabila kehilangan penggempur utamanya, Harry Kane.
Kane terpaksa dikeluarkan pada minit ke-33 disebabkan kecederaan dalam pertembungan sensasi Der Klassiker bagi saingan Bundesliga di Signal Iduna Park itu.
Begitupun, pengendali Bayern, Vincent Kompany kekal tenang meskipun menyedari pasukannya berkemungkinan besar ‘tempang’ tanpa Kane yang sudah meledak 20 gol musim ini dalam aksi-aksi seterusnya.
“Harry (Kane) beritahu saya ia (kecederaan) tidak begitu serius dan kami juga masih perlu menanti keputusan beberapa ujian selepas ini.
“Harapnya ia cuma masalah kecil tetapi kita tunggu dan lihat,” kata Kompany yang kini mempunyai 73.68 peratusan kemenangan bersama Bayern sejak dilantik sebagai ketua jurulatih kelab itu pada 29 Mei 2024.
Dalam aksi itu, Bayern terlebih dahulu dikejutkan dengan gol awal Dortmund menerusi Jamie Gittens pada minit ke-27 sebelum Jamal Musiala meledak jaringan penyamaan lima minit sebelum perlawanan tamat.
Satu mata itu tetap dianggap berharga buat Bayern yang kini mempunyai kelebihan besar tujuh mata sebagai pendahulu Bundesliga selepas mengharungi 12 perlawanan setakat ini.
Bagaimanapun, Bayern hampir pasti tidak dapat menggunakan khidmat Kane untuk aksi pusingan ketiga Piala DFB menentang juara musim lalu, Bayer Leverkusen awal pagi Rabu ini. – AGENSI