AYAM tambatan Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson Da Silva menuntut rakan sepasukan mengekalkan rentak kemenangan selepas menewaskan Kuala Lumpur Rovers (KL Rovers) dengan agregat 9-0 untuk mara ke suku akhir Piala Malaysia.
Menurut Bergson, walaupun turun menentang kelab Liga A1 majoritinya pemain simpanan dan pemain muda, rakan sepasukan tetap bermain sepenuh hati bagi memastikan kemenangan berpihak kepada pasukan.
Katanya, skuad Harimau Selatan akan lebih bersedia untuk untuk aksi suku akhir selepas ini bagi memastikan mereka meneruskan kemaraan dan ke pentas final bagi mempertahankan gelaran.
“Siapa pun lawan kami di suku akhir nanti bukan isu utama yang penting kita akan membuat persiapan rapi pada setiap perlawanan bagi membolehkan pasukan meraih kemenangan dan melangkah ke pusingan seterusnya.
“Kami memandang serius setiap pertemuan dan akan memberikan persembahan terbaik, siapa sahaja yang diturunkan, pastinya akan melaksanakan tugas sebaik mungkin mengikut perancangan yang ditetapkan,” ujarnya
Dalam pada itu, pengendali JDT, Hector Bidoglio mahu memperkemaskan lagi pasukan terutama ketika berdepan situasi bola mati terutama sepakan sudut selepas pasukan itu gagal menjelmakan sebarang jaringan daripada 15 sepakan sudut yang diambil.
Katanya, aspek ini penting untuk ditekankan kerana kemenangan sesuatu perlawanan mampu ditentukan dengan sebaik mana situasi itu dimanfaatkan sepenuhnya.