fbpx

AEON BiG lancar Kempen Beli Barangan Malaysia 2024

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Takanori Komatsu (dua dari kanan, belakang) bersama Adiratno (dua dari kiri) pada majlis perasmian KBBM 2024 di AEON BiG Putrajaya baru-baru ini.

PUTRAJAYA – AEON BiG (M) Sdn. Bhd. (AEON BiG) dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melancarkan Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) 2024, di AEON BiG Putrajaya.

Menurut Pengarah Eksekutif AEON BiG, Takanori Komatsu, kempen itu adalah inisiatif bermakna yang menyatukan sektor awam dan swasta untuk memberikan manfaat kepada masyarakat melalui promosi produk tempatan pada harga mampu milik.

“Kempen ini mencerminkan komitmen kami untuk menyokong produk buatan tempatan, yang penting dalam memperkukuh ekonomi domestik, mencipta pe­luang pekerjaan dan mengurangkan kebergantungan terhadap barangan import,” katanya pada majlis perasmian KBBM 2024 di sini baru-baru ini.

Komatsu berkata, AEON BiG berbangga bekerjasama dengan pembekal tempatan untuk memastikan produk buatan tempatan berada di rak jualan, sekali gus memberi manfaat kepada pelanggan sambil memperjuangkan perniagaan tempatan yang memberi impak positif kepada ekonomi negara.

Katanya, lebih daripada 30 cawangan AEON dan 22 cawangan AEON BiG di seluruh negara akan menyertai KBBM 2024 serta menawarkan pelbagai produk tempatan pada harga berpatutan.

Beliau berharap, kempen tersebut akan mendapat sambutan yang baik dan memberi pe­luang kepada pelanggan membuat pilihan bijak untuk membeli barangan tempatan pada harga menjimatkan.

“Marilah kita bersama-sama membuat perubahan dengan memilih untuk membeli barangan Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Pembangunan Perniagaan KPDN, Adiratno Che Ani berkata, keputusan AEON BIG dan AEON Co. (M) Berhad (AEON Co.) melaksanakan inisiatif itu bertepatan pada masa sekarang setelah ia hampir dua tahun tidak terlibat dengan kempen tersebut.

Katanya, pencapaian AEON Co. pada tahun 2021 berupaya merekodkan nilai jualan berjumlah RM6.3 juta dengan melibatkan 561 jumlah bilangan unit simpanan stok (SKU).

“Pada tahun 2022, AEON BiG pula mencatatkan nilai jualan RM1.07 juta bagi 356 SKU.

“Hasil jualan dan SKU melalui inisiatif KBBM ini menunjukkan bahawa pihak AEON amat komi­ted dalam membantu produk usahawan tempatan untuk terus dipasarkan di rangkaian pasar raya besar,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI