LONDON – Arsenal meneruskan misi mengejar kedudukan pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool selepas membelasah West Ham United 5-2 pada perlawanan yang berlangsung di Stadium London awal pagi semalam.
Kemenangan itu memastikan Arsenal kembali ke landasan sebenar selepas mereka berdepan aksi tidak menentu sebelum ini apabila mengharungi empat perlawanan liga tanpa kemenangan sebelum rehat antarabangsa.
Pengurus The Gunners, Mikel Arteta menganggap pasukannya sudah kembali ke prestasi sebenar, terutamanya selepas menjaringkan lima gol dalam dua perlawanan berturut-turut, termasuk ketika menewaskan Sporting Lisbon 5-1 minggu lalu.
“Kami sudah mula mendapat momentum dan kembali ke prestasi sebenar. Pemain-pemain menunjukkan semangat juang cukup tinggi dan untuk menang tiga kali berturut-turut bukan sesuatu yang mudah.
“Saya sangat menikmati perlawanan pada hari ini (semalam) kerana pemain-pemain menampilkan aksi cukup baik. Kami perlu bersiap sedia menjelang satu lagi aksi penting menentang Manchester United,” katanya.
Pada perlawanan itu, lima gol Arsenal hadir menerusi jaringan Gabriel Magalhaes, Leandro Trossard, Martin Odegaard, Kai Havertz dan Bukayo Saka, sekali gus terus menghidupkan peluang mencabar takhta liga.
“Saka bermain cukup baik sepanjang perlawanan selain memberikan impak positif kepada pasukan. Saya percaya bukan sesuatu yang mudah untuk memikul tanggungjawab bagi menggerakkan pasukan,” ujar Arteta. – AGENSI