ISKANDAR PUTERI – Kerajaan negeri sekali lagi memohon kerajaan persekutuan mempertimbangkan permohonan mengembalikan 20 peratus cukai yang dikutip dari negeri ini.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, permohonan itu selari dengan titah dibuat Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail sebelum ini.
“Ini amat penting bagi memastikan rakyat Johor mendapat limpahan manfaat hasil negeri dan untuk memastikan pembangunan negeri dilaksanakan dengan lebih komprehensif, demi kesejahteraan generasi kini dan akan datang.
“Sebagai contoh, setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) memohon RM10 juta, di Johor ada 56 DUN jadi jumlahnya sudah setengah bilion. Banyak perkara yang mahu kita lakukan di Johor melibatkan kesemua 56 DUN,” katanya ketika berucap pada sesi penggulungan Sidang DUN Johor di Kota Iskandar, di sini hari ini.
Sementara itu, Onn Hafiz turut memberitahu, kerajaan negeri bersetuju menambah RM26 juta kepada Belanjawan Johor 2025 bagi menambah baik pelaksanaan program-program dirancang.-KOSMO! ONLINE