fbpx

Banjir selatan Thai jejas lebih 500,000 orang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR kelmarin menunjukkan keadaan banjir di sebuah kawasan penempatan penduduk di Narathiwat. – AFP

BANGKOK – Banjir akibat hujan lebat di selatan Thailand membunuh sembilan orang dan menyebabkan lebih 13,000 yang lain hilang tempat tinggal, kata beberapa pegawai semalam ketika pasukan penyelamat menggunakan bot dan jet ski untuk sampai kepada penduduk terkandas.

Rakaman media tempatan menunjukkan penduduk mengharungi air keruh pada kedalaman paras dada, manakala kereta-kereta  digenangi di jalan-jalan yang ditenggelami banjir.

“Banjir di lapan wilayah di selatan Thai menyebabkan 553,921 isi rumah terjejas dan meragut sembilan nyawa.

“Bencana ini mendorong agensi-agensi kerajaan untuk mengerahkan bantuan kecemasan,” kata agensi bantuan Thailand dalam satu kenyataan di laman Facebook rasminya.

Menurut agensi berkenaan, lebih 13,000 orang terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing, manakala pusat penempatan sementara didirikan di sebilangan sekolah dan wat. 

Seorang penduduk wilayah Songkhla dikenali sebagai Nampa memberitahu badan penyiaran kerajaan, Thai PBS bahawa dia bimbang mengenai kekurangan bekalan makanan akan berlaku.

“Kami berada dalam keadaan baik sekarang tetapi saya tidak pasti berapa lama lagi kami akan dapat bertahan,” katanya.

Dua hospital di wilayah berdekatan, Pattani menggantung operasinya untuk menghalang air banjir daripada merosakkan kemudahan perubatan.

Di negara jirannya iaitu utara Semenanjung Malaysia, hujang lebat berterusan memaksa lebih  80,000 penduduk berpindah ke pusat-pusat penempatan banjir pada minggu ini, manakala beberapa pegawai bencana menyatakan bahawa sekurang-kurangnya empat orang terkorban.

Jabatan Meteorologi Thailand pula memberi amaran bahawa ‘hujan amat lebat’ dijangka terus menjejaskan sesetengah kawasan di selatan Thai sepanjang minggu depan.

Sementara itu, kerajaan Thai telah mengerahkan pasukan-pasukan penyelamat untuk membantu penduduk terjejas dan menyalurkan 50 juta baht (RM6.5 juta)  sebagai peruntukan bantuan kepada setiap wilayah yang terkesan.

 Perdana Menteri  Thai,  Paetongtarn Shinawatra memaklumkan di platform X  kelmarin bahawa matlamat kerajaan adalah untuk ‘mengembalikan keadaan menjadi normal seberapa segera yang boleh’. 

Walaupun Thailand mengalami hujan monsun pada setiap tahun, saintis-saintis berkata, perubahan iklim  dunia akibat aktiviti manusia menyebabkan corak cuaca menjadi lebih ekstrem dan mendorong banjir menjadi lebih buruk.

Banjir besar yang melanda seluruh Thailand dalam tahun 2011 telah membunuh lebih 500 orang dan mengakibatkan berjuta-juta kediaman rosak. – AFP 

 

                

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI