PETALING JAYA – Terus menyuntik inspirasi, pelakon Nora Danish sekali lagi mencuri perhatian netizen apabila mempamerkan kebolehannya menghafal salah satu surah dalam Al-Quran iaitu Al-Mulk.
Menerusi video dalam TikTok, Nora atau nama sebenarnya Nora Mohd. Danish Hanif, 42, menyahut cabaran pempengaruh Qawiy yang memintanya menyambung bacaan surah tersebut.
Tanpa teragak-agak, Nora dapat membaca surah itu dengan lancar, sekali gus menerima pujian daripada Qawiy.
“Masya-Allah, banyak hafalan tu. Kalau tak berhenti, nak baca lagi tu boleh habis satu surah.
“Kami seronok lihat perubahan Nora,” ujarnya.
Mengakui masih belajar, pelakon filem Sayu Yang Syukur itu berkata, mendalami Al-Quran memberi kesan besar dalam penghijrahannya untuk menjadi Muslimah yang lebih baik.
“Tapi tajwid belum betul-betul elok lagi. Yang itu (perubahan) adalah atas doa-doa anda semua. Terima kasih.
“Apa yang saya belajar melalui penghijrahan ini ialah sentiasa dekatkan diri dengan Al-Quran kerana kalam Allah ini adalah pendamping kita nanti,” ujarnya.
Tidak sekadar menghafal surah, ibu kepada dua cahaya mata itu turut berkongsi zikir yang menjadi amalannya sehari-hari.
“Ramai orang tanya, macam mana saya berhijrah, saya amalkan zikir Jami at Tirmidhi.
“Zikir itu mendekatkan diri kita dengan Allah, dicintai Allah dan didekatkan juga dengan orang yang mencintai Allah.
“Saya berubah pun disebabkan ramai orang baik ada dekat dengan saya. Berhijrah senang, istiqamah itu susah, jadi tolong doakan saya. Semoga saya boleh hafal banyak lagi surah,” ujarnya.
Video tersebut mengundang
reaksi positif netizen yang rata-rata memuji usaha aktres tersebut mendalami ilmu agama selain kagum dengan perubahan positif dalam kehidupannya.
“Masya-Allah, bagus bacaannya. Kena baiki sikit je lagi. Seronok tengok Nora berubah macam ini. Semoga istiqamah sampai akhirnya,” tulis seorang netizen.
“Teruskan berusaha cari ilmu Nora, bahagia lihat awak sekarang, nampak tenang,” komen seorang pengguna media sosial.
Perjalanan spiritual Nora menjadi inspirasi ramai, sekali gus membuktikan usaha mendekatkan diri kepada Allah mampu membawa perubahan besar dalam hidup seseorang. – KOSMO! ONLINE.